Thursday, 16 June 2016

Kurma / Date



Kurma / Date 

Buah Kurma atau Tamar merupakan sejenis buah yang boleh dimakan sama ada ketika ia sudah masak atau masih mentah. Ianya mempunyai pelbagai khasiat dan sudah terbukti secara saintifik. Malah dalam kitab suci al-Qur’an sahaja terdapat 21 ayat yang menyebut tentang kurma. Baginda Rasulullah SAW juga sendiri telah beberapa kali menyebut tentang Buah kurma dan khasiatnya, dan ianya amat sinonim dengan kisah sirah baginda.

“Kemudian Kami tumbuhkan kerananya kebun kurma dan anggur untuk kamu. Di sana kamu peroleh buah-buahan yang banyak dan sebahagiannya kamu makan“ 
Al-Mukminah ayat 19.

“Sesiapa yang memakan 7 biji tamar ‘Ajwah’, dia akan terkawal daripada gangguan syaitan dan sihir pada hari itu“. Sabda Rasulullah SAW


Manakala sudut sains pula mengatakan, kandungan protein di dalam kurma adalah lebih kurang 2.5%, serat 8.0% manakala kandungan gulanya pula adalah sangat tinggi, yakni sehingga 63%, majoritinya adalah glukosa. Lemak yang terkandung di dalamnya pula adalah sangat sedikit iaitu sekitar 0.4% sahaja. Kurma juga terkenal dalam dunia perubatan tradisional memandangkan ia juga kaya denga zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potassium, vitamin A, C dan niasin.



Antara khasiat utama kurma adalah :


Membantu‬ mengubati kemandulan wanita - Baik juga untuk wanita mengandung/bersalin.
Masih ingat kisah Maryam yang hanya memakan buah kurma semasa melahirkan Nabi Isa AS? Menerusi malaikat Jibrail, Allah telah mewahyukan kepada ibu Isa iaitu Maryam binti Imran supaya menggegar pohon kurma sehingga gugur lantas memakannya tatkala lemah selepas bersalin.
“Dan goncangkan batang kurma itu kepadanya, nanti ia gugurkan atas mu kurma yang masak,”Surah Maryam, ayat 25
Kurma amat baik untuk wanita mengandung dan akan memudahkan wanita untuk melahirkan anak dan akan mengurangkan pengaliran darah semasa proses kelahiran. Malah anak yang dilahirkan kelak dipercayai akan mempunyai sifat-sifat yang baik, penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya (Sabda Rasulullah).



Makanan dengan zat lengkap - Bekalan untuk angkasawan, Setiap 100g kurma mengandungi 315 kalori. Kurma dimakan tanpa perlu membuang kulitnya dan pada kulitnya itulah terkandung serat. Kurma adalah antara buah-buahan yang amat kaya dengan serat, serat larut mahupun tak larut. Kita sering menganggap buah-buahan seperti pisang itu mengandungi serat yang tinggi, tetapi tahukah anda, dalam 100g Kurma terdapat 8g serat sedangkan dalam 100g pisang hanya terdapat 2.6g serat sahaja? Tinggi serat amat baik untuk sistem pelawasan.
Selain itu kurma kaya dengan Potassium dan beberapa zat galian yang lain. Potassium adalah elektrolit yang akan menyeimbangkan kembali kandungan air dalam tubuh badan apabila kita kehilangannya, terutama sepanjang tempoh berpuasa. Tidak perlu membeli 100 Plus sekiranya khuatir akan kekurangan elektrolit ketika berbuka, memadai dengan beberapa biji kurma dan air suam. Potassium juga membantu dalam pembinaan otot termasuk otot jantung dan mampu memelihara sistem saraf.



Pemberi tenaga segera - Memandangkan kandungan gula ringkasnya (monosaccharide) yang sangat tinggi malah lebih tinggi dari pisang, kurma berupaya memberikan “tenaga segera” yang akan diserap oleh tubuh serta-merta. Berbeza dengan kebanyakan buah-buahan lain yang mengadungi sukrosa (disaccharide). Disaccharide seperti sukrosa harus dipecahkan dahulu oleh enzim sebelum bertukar menjadi monosaccharide lalu diserap tubuh sebagai tenaga.



Menguatkan memori - Ramai yang berfikiran hanya kismis yang baik untuk menguatkan daya ingatan, namun hakikatnya kurma juga tidak kurang hebatnya. Ianya amat sesuai untuk kanak-kanak yang sedang membesar.

No comments:

Post a Comment